Seruan Kalbu
Kadang-kadang kita rasa jauh dengan Sang Pencipta. Bukannya kita menjauhi-Nya tetapi keterbatasan waktu mengalpakan kita. Bahkan kesibukan mengejar yang tidak pasti ialah suatu halangan yang payah. Lebih-lebih lagi bagi seorang pejuang akademik. Bertimbun naskah dibaca bukan suatu masalah atau beban. Tetapi Al-quran kita tinggalkan kerana ia bukan lagi bacaan utama. Walhal ia hanya senaskah kumpulan ayat-ayat suci yang menceritakan gambaran hidup manusia dan alam. Selain itu, mendorong manusia hidup dengan penuh keseimbangan iaitu antara amalan di dunia untuk bekalan di akhirat. Semua itu telah diatur oleh-Nya. Siang bekerja, malam berehat, buat amal baik dan menolak kemungkaran. Mengapa aku tidak mampu? Aku sedar bahawa imanku semakin rapuh dek keseronokan dunia yang sementara. Jiwa ini terkadang hilang pedoman hidup dan mula terasa kosong. Kesedaran itu menyebabkan jiwa aku meruntun dan menuntun hidayah Allah SWT supaya aku kembali mengabdikan diri aku kepada-Nya. Ampuni aku Ya Allah.
Comments
Post a Comment